Merawat kucing yang mengalami cirit birit (Diarrhea)

Setelah punca masalah cirit-birit dikenalpasti, rawatan susulan boleh di lakukan. Langkah pertama adalah mengasingkan punca masalah itu sendiri. Misalnya jika susu lembu menjadi punca, maka buangkannya dari diet. Produk berasaskan tenusu boleh dihindarkan dari diet tanpa menyebabkan kekurangan nutrien kerana ia bukannya sebahagian dari diet yang sihat untuk kucing.

 

Jika terlebih makan adalah puncanya (dikenalpasti dari beberapa ketul najis besar,cair, tidak berbentuk) maka pemakanannya perlu dikawal. Berikannya 3 kali hidangan kecil berbanding sekali hidangan besar sehari. Bawakan air dari rumah atau air botol jika anda membawanya ke kampung kerana air di tempat berbeza juga boleh menyebabkan cirit-birit (bagi manusia, air semuanya sama tapi kucing mempunyai deria rasa yang berbeza).

 

Jika bahan toksik hadir dalam badan, bahannya perlu dikenalpasti kerana antidot yang spesifik boleh diperolehi. Atau bawa sahaja kucing anda ke vet untuk pemeriksaan.

 

Cirit yang disebabkan oleh alahan makanan boleh dirawat dengan memperkenalkannya diet khas (perlu dirujuk kepada vet) selama lebih kurang 8 minggu. Jika ciritnya hilang, kucing itu boleh dibiarkan dalam program diet ini, atau lain-lain makanan boleh diperkenalkan secara sedikit demi sedikit sehingga bahan alahan itu dikenalpasti (apabila simptom cirit itu berulang semula). Bahan makanan yang telah dikenalpasti itu kemudiannya perlu dibuang dari diet.

 

Alahan yang menyebabkan muntah atau cirit-birit ini biasanya tindakbalas terhadap unsur protein dalam makanan, pengawet, perasa, pewarna atau apa sahaja yang terkandung dalam makanan itu. Seperti sebelum ini, menghindarka bahan tersebut dari pemakanan akan menghentikan cirit-birit ini. Memang ada jenama yang terkenal juga di Malaysia ini yang sering membawa masalah cirit-birit kepada kucing, dipercayai disebabkan pewarna tiruan yang digunakan. Saya tak mahulah sebut di sini, anda boleh mengunjungi forum-forum untuk mengetahuinya.

 

Selain itu, jenama seperti Eukanuba, dan Royal Cannin terutamanya, mengandungi diet khas untuk masalah alahan makanan. Anda boleh melihat labelnya tertulis Hypoallergenic, Neutral Formula, Limited Ingredients atau Ultra Allergen. Makanan ini adalah khas untuk kucing yang mengalami masalah alahan.

 

Kucing yang mengalami cirit-birit berlanjutan lebih dari 24 jam perlu di bawa ke vet tanpa lengah. Bawakan sekali sampel najis kucing anda supaya ianya boleh diperiksa kehadiran parasit atau bakteria. Vet yang bertanggungjawab sepatutnya akan memeriksa najis tersebut. 

 

Kucing akan kehilangan bendalir badan dengan cepat dalam situasi cirit-birit, dan boleh membawa kepada kejutan serta pengsan. Punca cirit yang kronik boleh menjadi sukar untuk ditentukan dan memerlukan analisis makmal serta kawalselia oleh vet yang profesional. 

 

Cirit yang singkat tanpa kehilangan bendalir yang banyak boleh dirawat di rumah. Jangan beri sebarang makanan selama 24 jam, berikan jumlah air yang sedikit untuk kucing menjilat. Apabila kucing kelihatan semakin sembuh, perkenalkan makan pejal semual secara berperingkat (3-4 kali hidangan kecil sehari). Mulakan dengan diet yang tinggi protein (dari haiwan dan bukannya tumbuhan).

 

Elakkan makanan tinggi karbohidrat dan makanan kering kerana karbohidrat yang berlebihan boleh menyebabkan cirit berulang. Secara berperingkat juga, kucing anda boleh kembali kepada diet biasanya. Ada sesetengah pemilik kucing menggunakan bahan yang dipanggil Loperamide atau Imodium untuk melambatkan aktiviti dalam usus kucing. Rujuk kepada vet anda terlebih dahulu untuk perkara ini kerana ia agak kontroversi.

 

Jika kucing anda mengalami cirit-birit…berikan dada ayam (chicken breast) rebus…kalau boleh rebus bersama pumpkin (sedikit sahaja)…dan beri ia makan..jika ia berterusan selama 48 jam…sila ke Vet.