Kepentingan Memandulkan Si comel Anda

Mengawal Bulus Terbiar

Semakin hari, kelihatan kucing-kucing jalanan yang ditangkap oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) berdasarkan aduan mahupun tangkapan secara rawak. Hati memang mengeluh apabila mengenangkan situasi yang tiada penghujung ini.

 

 

Kucing atau haiwan-haiwan yang ditangkap biasanya akan di letakkan di pusat perlindungan, sementara menanti tindakan seterusnya dimana kemungkinan haiwan ini tidak kelihatan lagi selepas ini.

Hanya tuhan yang tahu apa kesudahan cerita disebalik makhluk kesayangan ini. Apabila berfikir dengan lebih rasional dan sebagai pengimbangan suasana, pengkasian atau pemandulan kucing adalah langkah terbaik untuk mengurangkan pembuangan kucing yang tidak berdosa, secara tidak lansung mampu mengelakkan haiwan-haiwan ini daripada menjadi mangsa penganiayaan dan penderaan oleh individu yang bertopengkan syaitan.

 

 

Menurut fatwa yang dikeluarkan pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada tahun 2002 berkaitan pemandulan dan pengembirian kucing dan anjing, hukumnya adalah diharuskan dengan sebab-sebab tertentu demi menjaga kemasyarakatan ummah seperti faktor kesihatan dan menjaga kebajikan haiwan tersebut dan masyarakat.

Berdasarkan hujah anggota Majlis Ulama Kanan Arab Saudi, Al-Syeikh Muhammad Soleh al-Uthaimin yang bermaksuda : " Adapun mengkasi haiwan, hukumnya adalah harus jika ada maslahat bagaimanapun, mestilah menggunakan proses-proses yang dapat mengelakkan daripada menyakiti haiwan tersebut. " (Liqa al-Bab al-Maftuh 15/37)

 

 

Kebaikan dan kelebihan pelaksanaan pemandulan

Proses memandulkan kucing anda penting kerana ia membantu dalam beberapa keadaan, antaranya seperti membantu mengawal sifat si comel dimana kucing jantan tidak sibuk mencari betina dan si betina pun tidak memanggil-manggil si jantan datang ke rumah untuk mengawan.

Sesetengah kucing mungkin ada sedikit perubahan dari segi perlakuan. Daripada agresif, mungkin menjadi lebih manja. Tidak dinafikan ada juga yang bertambah garang. Cuma peratus perubahan daripada manja kepada garang sangat rendah.

 

Ia juga membantu untuk mengawal populasi dimana dapat mengelakkan pembiakan luar kawalan kucing betina dan mengurangkan risiko anak-anak kecil yang baru lahir dibuang ke pasar atau lokasi-lokasi restoran yang mampu mengakibatkan penderaan, kecederaan, kemalangan juga kematian.

Selain itu dapat mengurangkan risiko jangkitan penyakit berbahaya, ini kerana kucing jantan yang belum dimandulkan lebih cenderung merayau-rayau mencari pasangan. 

Pertembungan antara dua jantan boleh mengakibatkan pergaduhan kecederaan akibat pergaduhan juha menyebabkan jangkitan yang serius pada kucing jantan atau berkemungkinan dijangkiti penyakit yang bersifat zoonosis iaitu penyakit berjangkit pada manusia dan haiwan lain. Ia juga mengurangkan risiko jangkitan pada pundi kencing. Bagi kucing betina, pemandulan membantu mengurangkan risiko jangkitan dalam rahim (pyometra), masalah keradangan pada puting susu (mastitis) dan kanser yang melibatkan anggota peranakan.

 

 

Ia juga menjimatkan kos kerana mengurangkan kos rawatan dan memudahkan proses pengurusan dan penjagaan si comel. Selepas dimandulkan, si comel akan lebih cenderung berada di sekitar kawasan rumah sahaja. Pengurangan risiko jangkitan akibat pergaduhan dan sebagainya membantu menjimatkan kos rawatan dan penjagaan si bulus.

Persediaan sebelum pemandulan

Sebelum memandulkan kucing sebaik-baiknya kucing diberi suntikan imunisasi. Suntikan imunisasi membantu meningkatkan imuniti si comel dan menghalang daripada jangkitan virus-virus berbahaya yang biasa menjangkiti mereka.

Harus di ingat, selepas pemandulan, Si comel akan berada dalam keadaan stress untuk beberapa tempoh yang memerlukan kesabaran buat pemiliknya untuk melayani setiap kerenah mereka.

 

 

Pada masa yang sama, sistem imunisasi mereka menurun dan memudahkan berlakunya jangkitan jika tiada perlindungan imunisasi yang baik.

Mengikut kajian yang dijalankan di Amerika Syarikat, setiap hari lebih kurang 70,000 ekor anjing dan kucing di lahirkan. Tetapi cuma sebahagian sahaja daripada jumlah tersebut yang mendapat penjagaan dan perlindungan dari keluarga yang penyayang. Berdasarkan statistik juga, 4 sehingga 6 juta kucing dan anjing di-PTS (Put To Sleep) kerana tiada tempat untuk mereka di pusat-pusat perlindungan haiwan.

Seperti mana yang berlaku di luar sana, begitulah juga keadaannya di Malaysia lebih menyayatkan hati apabila haiwan-haiwan jalanan diseksa dan dibunuh dengan kejam oleh manusia-manusia durjana kemudian tidak mendapat pembelaan yang sepatutnya.

 

 

Undang-undang Di Malaysia

Di Malaysia, penderaan dan penyeksaan haiwan tidak dipandang serius di negara kita.  Akta Haiwan 1953 menyatakan pesalah laku jenayah terhadap haiwan akan dikenakan hukuman denda maksimum berjumlah Rm200 atau penjara tidak melebihi 6 bulan.

Masih ada umat islam yang ragu-ragu untuk memandulkan haiwan kesayangan mereka. Antara sebab dan alasan yang diberikan adalah seperti takut berdosa menyekat nafsu haiwan tersebut, takut menganiaya naluri haiwan kesayangan mereka, takut sekiranya ia menyakitkan haiwan peliharaan mereka, dan sebagainya.

Jika begitu, bagaimana pula dengan dosa membuang anak-anak kucing yang masih kecil ke jalanan? Dicampak? Dibuang di dalam karung guni? Kemudian sekiranya mereka menjadi mangsa lenyekan tayar kereta? Dan lebih buruk, menjadi mangsa pijak, tendang dan pukul oleh manusia yang tidak berperikemanusiaan? Fikirkan dan renung-renungkan.

 

Credit : Majalah Hi Meow


Leave a comment

Please note, comments must be approved before they are published